Kerajaan menggalakkan
penglibatan industri samada syarikat asing di Malaysia, GLC dan IKS
dalam semua sektor melibatkan diri dalam pembangunan latihan kemahiran
dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi
menjelang tahun 2020.
Pendekatan latihan kemahiran bukan hanya tertumpu kepada latihan di institusi latihan kemahiran awam dan swasta (ILKA/ILKS), tetapi juga menerusi pendekatan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) iaitu sebuah sistem latihan yang berorientasikan pekerjaan di mana para pelajar di latih 70-80 peratus lebih kerap di industri berbanding di institusi latihan.
Menerusi SLDN, pihak industri akan memberi latihan yang sebenar kepada para pelajar dengan penggunaan mesin dan prosedur ditempat kerja yang sebenar bermula di peringkat perjawatan paling bawah sekali sebelum meningkat naik ke tahap yang lebih tinggi.
Para pelajar tidak perlu membuat pinjaman latihan sebaliknya latihan yang diterima adalah percuma bahkan pihak industri akan memberi elaun berdasarkan tahap yang sedang dilatih. Paling menarik, para pelajar akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia atau Diploma Kemahiran Malaysia apabila menamatkan latihan dan selalunya di serapkan masuk ke syarikat untuk menjadi pekerja tetap. Syarikat akan melihat para pelajar sebagai satu aset penting kerana para pelajar telah menerima latihan secara terus dari tenaga pakar di industri berkenaan.
Kaedah yang diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia semakin mendapat perhatian dan penglibatan pihak industri tempatan mahupun antarabangsa yang berada di Malaysia.
Kerajaan juga akan dapat menjimatkan banyak perbelanjaan dari segi pengurusan pelajar, penggunaan bahan gunahabis serta penyelenggaraan peralatan latihan kerana 70-80% latihan adalah di dalam premis industri yang menyertai SLDN.
Maka dengan ini, Sekretariat 1Belia 1Kemahiran (1B1K) Majlis Belia Malaysia berharap pihak industri samada bersaiz kecil atau besar akan mempunyai jiwa nasionalisme yang tinggi dalam membantu usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
No comments:
Post a Comment