Wednesday, June 13, 2012

MAJLIS PRA PELANCARAN UTC MELAKA PUSAT TRANSFORMASI BANDAR

MELAKA - Pusat Transformasi Bandar (UTC) pertama negara di Jalan Hang Tuah di sini mula beroperasi hari ini dengan 70 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai.


Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata pusat setempat itu menyediakan perkhidmatan di bawah 10 kluster termasuk kesihatan;
keselamatan; pendidikan, latihan dan pekerjaan; kewangan dan pembangunan belia bermula 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari.

"UTC ini turut menyediakan tapak pasar tani, perkhidmatan mini perpustakaan, pusat tuisyen, siber kafe, pusat kecergasan dan studio muzik bagi golongan belia," katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran UTC berkenaan yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.


Pelancaran rasmi UTC berkenaan dijangka dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Jun.

Ahmad Husni berkata UTC berkenaan bukan hanya memberi kemudahan kepada penduduk bandar raya Melaka yang meliputi 87 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri itu malah penduduk luar bandar.

Sementara itu, beliau berkata UTC akan diperluaskan ke Kuala Lumpur dengan Pudu Sentral telah dikenal pasti sebagai lokasi selain di negeri Johor dan Sabah sebelum diwujudkan di seluruh negara.


Katanya UTC Melaka akan dijadikan rujukan kepada kerajaan persekutuan dalam mewujudkan UTC di seluruh negara.


Dalam pada itu, Mohd Ali mengumumkan kerajaan negeri Melaka melalui anak syarikatnya, Panorama Melaka Sdn Bhd mewujudkan laluan bas, Melaka Central-UTC sempena prapelancaran pusat itu hari ini.

Katanya pembukaan UTC berkenaan dilihat mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...