PAGOH 29 Mei - Sebuah kereta lumba jenis cart yang
dicipta pensyarah dan pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di
sini sudah sedia menyertai pertandingan inovasi di Litar Bukit Sagor,
Pasir Salak, Perak pada 13 hingga 16 September ini.
Dengan reka bentuk dan keistimewaan tersendiri, pencipta kereta
berkenaan tidak sabar menyertai pertandingan inovasi itu membabitkan
institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh negara.
Ciptaan tersebut merupakan hasil kerjasama pensyarah bidang mekanikal
membabitkan kimpalan dan pemesinan IKBN Pagoh yang diberi nama EIMA
Race.
EIMA Race ditayang dan diuji pandu sempena Karnival Kerjaya 2012 yang
berlangsung di Dewan Karisma IKBN Pagoh di sini baru-baru ini
dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut tertarik dengan EIMA
RAce dan menurunkan tandatangannya di bahagian depan kereta tersebut.
Pensyarah Jabatan Kimpalan IKBN Pagoh, Mohd. Ghazali Mohd. Daud
berkata, projek itu dimulakan pada 1 Februari lalu dengan menggabungkan
kepakaran dalam bidang mekanikal bagi menghasilkan kereta inovasi baru
yang diharapkan mampu memberi idea baru kepada pembuatan kereta.
Kata beliau, pihaknya juga mengambil peluang daripada penganjuran
karnival berkenaan untuk menarik minat golongan muda serta masyarakat
melihat sendiri hasil kerja pelajar selepas menimba pengalaman dan
pengetahuan di IKBN.
"Kita gembira apabila ramai yang berminat menyaksikan hasil kerja
kami dan berharap ia akan menarik minat pelajar terutama untuk
bersama-sama menghasilkan inovasi seperti ini," katanya.
No comments:
Post a Comment